Anthony Loke

KUALA LUMPUR- Keputusan mengenai penggantungan tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dibuat oleh ahli lembaga pengarah syarikat.

Tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, syarikat pengendali operasi pengangkutan awam negara itu berada di bawah kuasa Kementerian Kewangan dan bukan kementerian yang diterajui beliau.

“Isu mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana bukan di bawah kuasa saya, Prasarana adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

“Saya rasa persoalan mengenai tindakan tersebut lebih elok ditanyakan kepada ahli lembaga pengarah syarikat kerana mereka yang membuat keputusan dan bukannya kementerian,” katanya semasa taklimat media serta mesyuarat bersama pengurusan Prasarana di ibu pejabat syarikat tersebut di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, sebuah portal melaporkan Mohamed Hazlan digantung tugas kerana masalah prestasi.

Bagaimanapun, tiada kenyataan dikeluarkan oleh syarikat tersebut mahu pun daripada Kementerian Kewangan untuk mengesahkan perkara tersebut.

Malah taklimat media berhubung prestasi kepenggunaan rel dan bas di bawah kendalian Prasarana pada hari ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Muhammad Nizam Alias tanpa dihadiri oleh Hazlan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

CEO Prasarana digantung tugas – Laporan