Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi (tengah) bersama yang lain menunjukkan poster selepas sidang media pada Program Bengkel Kemahiran Menjahit sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 09 JANUARI 2020.

KIMANIS – Pas tidak sesuai untuk rakyat Sabah kerana parti itu sering membawa menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Senator Aiman Athirah Al-Jundi menegaskan, rakyat Sabah dan Sarawak sangat unik dalam soal agama dan perjuangan Pas boleh mengancam keharmonian.

“Pas tidak sesuai untuk Sabah, bila ada parti yang bawa isu perkauman, keagamaan, atau saling bersangka buruk sesama kaum dan agama, saya kira Sabah dan Sarawak tidak sesuai.

“Semangat perjuangan yang membenci agama lain atau prejudis terhadap agama lain sedangkan mereka masih ramai keluarga mereka (bukan Islam).

“Memang pasti tidak sesuai, jadi kita minta rakyat Sabah khususnya untuk menjaga keharmonian kita di sini,” katanya pada sidang media di Kampung Sri Serang, Bongawan hari ini.

Beliau mengulas hasrat Pas untuk membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Aiman Athirah juga memberi amaran kepada pemimpin Pas agar tidak membawa perjuangan mereka ke Sabah kerana boleh merosakkan hubungan kekeluargaan.

“Tak payahlah dan jangan cuba sebab ia akan merosakkan keluarga di sini. Kita sudah tahu isu ini telah merosakkan keutuhan keluarga Muslim, sesama Melayu di Semenanjung contohnya di Terengganu nikah tak sah sebab kadi bukan Pas.

“Bila adik-beradik yang parti politik tidak sama pun terpisah, jangan bawa di Sabah, cukuplah di Semenanjung… Semenanjung pun ndak mahu juga sebenarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette