Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dengan bertambahnya laporan berita palsu terutamanya di laman-laman sosial.

Malah laporan berita palsu itu menyebabkan rata-rata pemimpin negara dikritik teruk khasnya rakyat dan netizen, katanya.

Ia termasuk berita berhubung pemberian elaun parkir kepada menteri dan timbalan menteri yang dikatakan mencecah sehingga RM4,500 sebulan baru-baru ini sehingga ramai melahirkan rasa tidak puas hati.

Guan Eng pelik dengan berita itu kerana sehingga kini beliau masih tercari-cari tentang pemberian elaun seumpama itu kepada menteri dan timbalan menteri seperti dilaporkan media.

“Saya cari-cari tapi langsung tiada. Mungkin elaun itu melalui tuntutan. Saya tidak tahu tetapi setakat ini, elaun yang dikatakan itu memang tidak ada. Itu adalah berita palsu.

“Itu sememangnya berita palsu. Sekarang ini banyak sangat berita-berita palsu yang tersebar sehingga menyebabkan kita di kritik dengan begitu teruk sekali.

“Kepada media, tolonglah siarkan berita yang benar sahaja. Media tolong jalankan tanggungjawab kamu dengan betul, siarkan apa yang benar sahaja,” kata Setiausaha Agung DAP itu kepada pemberita hari ini.

Baca: Tidak wujud elaun parking RM5,700 untuk menteri – Saifuddin

Sebelum ini, timbul persoalan dalam kalangan rakyat mengenai jumlah emolumen dan elaun yang diterima oleh menteri kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan.

Ada pihak yang mendakwa menteri-menteri memperoleh elaun tertentu termasuk ‘elaun parkir’ yang dikatakan bernilai lebih RM5,000, sehingga mengundang kritikan dan kecaman hebat dari warganet yang menyifatkan jumlah itu sebagai melampau.

Pada 23 Mei 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemotongan gaji pokok menteri sebanyak 10 peratus bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan dalam mendepani masalah kewangan kerajaan.- MalaysiaGazette