KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio dipercayai perbualan Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa individu mengundang risiko besar.
Ia dilihat mencemari integriti dan kedaulatan sistem pengurusan serta pentadbiran agensi utama kerajaan kepada negara luar.
Perbuatan itu menjadikan agensi SPRM terjejas teruk dengan kepercayaan rakyat yang ingin melihat proses keadilan berjalan dengan baik dan telus di bawah Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, gagal.
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, mendedahkan bahan bukti di media bukan di mahkamah merupakan satu bentuk hukuman awam tanpa pesalah dibicara dengan adil tanpa pembelaan.
“Pendedahan bahan bukti yang juga melibatkan pemimpin negara luar kepada umum, menyanggah dasar luar iaitu menghormati dan memelihara keselamatan serta kerahsiaan negara.
“Perbuatan ini sangat tidak profesional dan bertanggungjawab serta berhemah, juga mengingkari sumpah pelantikan jawatan tertinggi kerajaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong bagi menyimpan dan memelihara kerahsiaan, keselamatan juga kehormatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zai kemudian mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Latheefa kerana gagal menjalankan amanah diberikan kepadanya dengan baik, bahkan meletakkan negara dalam risiko hilang kepercayaan dan kehormatan negara luar. – MalaysiaGazette
















