Fenomena merokok di tempat awam terutamanya di kedai-kedai makan dikhuatiri sudah kembali seperti dulu terutama selepas pasca Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perokok dinasihatkan supaya tidak melanggar undang-undang merokok semasa berada di “luar kawasan” kerana proses melunaskan saman adalah lebih rumit.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, keadaan itu berlaku kerana saman itu perlu dijelaskan di pejabat kesihatan di tempat di mana saman dikeluarkan.

“Jika anda disaman kerana merokok di Kuching, maka anda perlu balik semula ke Kuching untuk bayar.

“Oleh itu, saya galakkan lebih baik jangan merokok semasa berada di luar kawasan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Tambahnya, pada masa ini tiada mekanisme yang membolehkan perokok membayar saman di mana-mana satu pejabat kesihatan, melainkan di tempat saman dikeluarkan.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, ibu bapa perlu menanggung bayaran saman yang diterima anak remaja mereka yang dikenakan tindakan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka tidak mempunyai rokok atau rokok elektronik.

“Menurut undang-undang, mereka di bawah umur 18 tahun tidak boleh merokok atau memiliki rokok,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye berkata, bukan niat asal Kementerian Kesihatan untuk melihat pengusaha kedai makanan menyediakan ruang merokok, walaupun mereka boleh menyediakan bekas abu rokok di luar zon larangan.

Keadaan itu juga bermakna pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa pengusaha boleh sediakan ruang merokok di luar zon larangan adalah bertentangan dengan “niat asal” Kementerian Kesihatan.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Zuraida Kamaruddin berkata boleh sediakan zon merokok, sepatutnya ialah menyediakan bekas abu rokok supaya puntung rokok boleh dibuang,” katanya.

Mengenai “pondok merokok” , Boon Chye berkata, kemudahan itu hanya boleh wujud di tempat awam di luar restoran, yakni perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pengusaha boleh memohon, tetapi yang luluskan adalah pihak berkuasa tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette