Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak akan mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri dan individu bernama Haziq Abdul Aziz membolehkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersiap-sedia menjadi timbalan perdana menteri selepas ini.

Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula boleh bersiap-sedia ke mahkamah sekali lagi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi  berkata, memang hebat kedaulatan undang-undang di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara sinikal, beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil masa seminggu membuat analisis forensik rakaman audio perbualan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia disahkan tulen.

Sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengambil masa hampir setahun untuk membuat analisis forensik tetapi disahkan tidak pasti dalam kes video seks.

“Rasanya, bagi yang mata rabun pun boleh kenal siapa dua pelakon tersebut. Apatah lagi seorang dari yang empunya diri mengaku.

“Mustahil Haziq tidak kenal dirinya atau beraksi dalam keadaan tidur. Mustahil,” katanya sambil menegaskan pengumuman mengenai kes hubungan seks sejenis itu dibuat sehari selepas rakaman audio membabitkan Najib didedahkan.

Dalam kenyataan bertulis semalam, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata, hasil siasatan pihaknya dan polis mendapati walaupun video-video tersebut tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah.

“Selepas menyemak keterangan yang dikumpul dan dikemukakan polis, timbalan pendakwa raya sebulat suara mengesyorkan kepadanya tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung kes itu,” katanya.

Tetapi, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pula berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan Peguam Negara mengenai perkembangan kes video seks sejenis mengaitkan seorang menteri.

“Saya tidak tahu, keputusan muktamad dibuat oleh pihak Peguam Negara, bila sudah rasmi saya akan umumkan,” katanya. – MalaysiaGazette