Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Ahli Jawatankuasa Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi, Tunku Datuk Yaacob Khyra (tiga kiri) dan Tunku Soraya Dakhlah Tunku Tan Sri Abdullah (dua kiri) bergambar dengan wakil dari pasukan kapal layar yang bertanding pada Majlis Penutupan Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2020

LANGKAWI – Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau akan memangku jawatan menteri pendidikan buat sementara waktu sahaja.

Perdana Menteri berkata, jawatan itu akan dilepaskan sebaik sahaja beliau mendapat individu yang sesuai sebagai pengganti.

Beliau turut mengesahkan kebiasaannya jawatan menteri pendidikan itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

“Saya secepat mungkin, selepas saya dapat seorang untuk ambil alih, saya akan lepaskan jawatan itu.

“Saya cuma pegang sementara sahaja. Biasanya dari parti Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutup
dan penyampaian Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road di sini malam ini.

Perdana Menteri ditanya sampai bila beliau akan memangku jawatan menteri pendidikan yang dipegangnya berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet 8 Januari lalu berikutan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan pada 2 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau telah memberi idea mengenai pendidikan negara untuk membentuk satu sistem bagi semua pelajar agar mereka terus mendapat kerja selepas tamat belajar.

Ditanya mengenai sebarang polisi baharu pendidikan baharu akan diumumkan, Dr Mahathir berkata ia perlu mengambil waktu dahulu.

Mengenai cadangan memisahkan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pengajian Tinggi, beliau memberitahu perkara itu sedang dalam kajian. – MalaysiaGazette