Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Mendedahkan rakaman audio perbualan Datuk Seri Najib Razak dengan Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheik Mohamed Zayed Al-Nahyan boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dengan negara itu.

Tegas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad, Latheefa Koya tidak sepatutnya mendedahkan perbualan itu kepada umum, sebaliknya menyerahkan rakaman berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Justeru, beliau mendesak kerajaan menggantikan segera jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berikutan kegagalan Latheefa menjalankan amanah dengan baik, malah kesalahan dilakukan itu suatu yang tidak dapat diterima.

“Tindakan Latheefa ini bukan sahaja memalukan SPRM tetapi juga merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan UAE.

“Wanita UMNO mengecam tindakan mendedahkan rakaman audio kononnya konspirasi jenayah tertinggi membabitkan perbualan tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Noraini berkata, tindakan itu telah mencalar imej SPRM yang penuh berintegriti dan dihormati sebelum ini.

Apakah soalnya, tidak ada individu yang bertauliah bagi menasihati ketua mereka yang jelas telah dipengaruhi oleh kuasa politik?

“Harus diingat SPRM adalah satu badan berkecuali dan tidak sepatutnya ada campur tangan politik yang akhirnya mengundang rasa tidak percaya rakyat kepada badan ini.

“Kita sarankan Latheefa mengkaji dan memahami Akta SPRM sebelum membuat sesuatu perkara yang akan menyebabkan badan berkecuali itu dikecam oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast