Keadaan van yang dipandu B. Nageswarau, yang terlibat dalam kemalangan di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

PUTRAJAYA – Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga lagi yang cedera dalam nahas jalan raya pagi ini akan menjalani imbasan CT dan pemeriksaan lain yang berkaitan sebelum diagnosis sebenar dapat disahkan, kata Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said.

Beliau berkata perlanggaran yang berlaku merupakan ´nahas jalan raya impak tinggi´ dan menyebabkan keempat-empat mangsa mengalami sakit belakang serta kecederaan lain.

“Ketika ini kesemua mereka stabil dan telah dihantar ke wad. Ada yang buat dressing, ada yang buat jahitan di OT (dewan bedah).

“Mereka juga mengalami luka lecet,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis amanat tahun baharu Menteri Kesihatan di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.40 pagi itu, van dipandu B. Nageswarau, 24, yang membawa keempat-empat mereka, melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata Nageswarau yang tersepit di tempat duduknya, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, 25, juara dunia ketika ini, tiga lagi ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, dan William Thomas, 30, pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia.

Mayat Nageswarau turut dihantar ke Hospital Putrajaya.

Semalam, Momota dari Jepun muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena di sini, gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas beberapa tahun memburu gelaran itu.

Beliau menewaskan bekas juara dunia Viktor Axelsen daripada Denmark pada aksi perlawanan akhir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan, pada sidang media, selain memberitahu tentang kecederaan dialami Momota iaitu patah tulang hidung, luka di bibir yang perlu dijahit dan kecederaan di muka, berkata Hirayama mengalami kecederaan di muka dan kaki kanannya manakala Akifumi patah tangan.

Thomas mengalami kecederaan di kaki dan menerima tujuh jahitan di kepala, katanya.

— BERNAMA