Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengerusi syarikat Education Malaysia Global Services (EMGS), Abdul Rahman Shariff mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah berjumlah RM178,049 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau kemudiannya memohon untuk dibicarakan.

Abdul Rahman didakwa telah menggunakan dana Yayasan Pengurusan Ilmu di mana beliau merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah bagi kepentingan peribadi bernilai RM150,000 yang kemudian dipindakan ke akaunnya sendiri.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan telah menggunakan dana yayasan itu sebanyak RM3,049 bagi membeli dua kotak cerut pada November 2018.

Tuduhan ketiga yang dikenakan ke atas Abdul Rahman ialah menggunakan dana yayasan itu sebanyak RM25,000 bagi pembelian barangan elektrik seperti ketuhar untuk syarikat isterinya pada 7 Januari 2019.

Untuk ketiga-tiga tuduhan itu, Abdul Rahman mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Hakim juga  mengarahkan Abdul Rahman melaporkan dirinya di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan setiap bulan bermula Februari ini.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Azura juga telah menetapkan 13 Februari depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya bagi kes ini ialah Farah Yasmin Salleh dan Abdul Rashid Sulaiman yang mewakili SPRM manakala Rahman diwakili Sallehudin Saidin.

EMGS merupakan syarikat yang ditubuhkan di bawah KPM pada 2012 bagi mempromosi sektor pendidikan bagi pelajar luar negara yang mana menawarkan perkhidmatan mengurus serta memproses visa juga insurans bagi pelajar.

Bagaimanapun, KPM telah bertindak menamatkan kontrak EMGS selepas aduan syarikat itu mengenakan caj RM1,000 bagi setiap pelajar bagi perkhidmatan visa dan insurans.  –MalaysiaGazette