Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza.

KUALA LUMPUR- Sudah tiba masanya kerajaan melepaskan golden share dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menyerahkannya kepada pihak pengawal selia, terutama melibatkan industri kompetitif seperti telekomunikasi.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Shahril Ridza Ridzuan, zaman di mana kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mengawal sesebuah syarikat sudah berlalu.

Pada era baharu, katanya, pengawal selia sepatutnya mempunyai lebih banyak kuasa untuk mengendalikan syarikat-syarikat.

Tambahnya, perkara tersebut perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana setiap syarikat memerlukan kaedah yang berbeza.

“Kita tidak boleh melakukan generalisasi. Saya rasa kita perlu melihat kepada setiap industri dan syarikat bagaimana sesuatu perniagaan itu dijalankan.

“Bidang telekomunikasi contohnya ia adalah satu industri yang kompetitif dan sudah tidak ada monopoli jadi mungkin Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia boleh mengawal selia bagaimana sesebuah syarikat itu patut bertindak dan bukannya golden share (kuasa veto kerajaan).

“Jika hendak ada golden share, kena letak golden share di semua syarikat telekomunikasi, jika tidak ianya sesuatu yang tidak adil kepada Telekom Malaysia (TM) kerana industri ini sudah tidak ada monopoli.

“Jadi, dalam industri telekomunikasi, tidak patut ada golden share tetapi jika dalam industri yang masih ada monopoli, mungkin golden share lebih baik.

“Kita kena betul-betul mengkaji setiap industri,” katanya selepas menjadi panelis dalam Persidangan Integriti Nasional Bank Rakyat di sini hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, terdapat sebab mengapa kerajaan bertegas untuk meletakkan golden share dalam GLC.

Namun begitu, kerajaan bersedia untuk mengadakan kajian mengikut kes-kes tertentu dan menimbangkan sama ada hendak mengekalkan atau melepaskan golden share tersebut.

“Jika kita merasakan golden share tidak perlu, kita boleh lepaskannya tetapi ia perlu dilihat mengikut kes.

“Ada sebab mengapa kerajaan bertegas untuk memiliki golden share kerana dalam kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) contohnya, mereka tidak buat apa yang dijanjikan jadi kerajaan perlu ambil alih,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri persidangan tersebut.- MalaysiaGazette