Bomba memadam api yang menjilat kereta Mercedes Benz di hadapan pusat beli-belah Pavilion n di Jalan Bukit Bintang, di sini hari ini. Foto: Bomba

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz rentung dijilat api di hadapan pusat beli-belah Pavilion di Jalan Bukit Bintang, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, PBK II, Mohd Azam Alip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.40 petang daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.

Katanya, sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota dan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi, Mohd Azam berkata, api sedang marak menjilat keseluruhan kereta tersebut yang terbakar di tengah-tengah jalan.

“Api dapat dikawal pada pukul 2.01 petang dan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azam turut memberitahu, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca ia berlaku masih dalam siasatan.

Sementara itu, beberapa keping gambar dan video rakaman kenderaan yang terbakar itu tular di laman-laman media sosial. – MalaysiaGazette