Rakaman video yang menunjukkan pesawat Ukraine dibedil oleh peluru berpandu pada 8 Januari 2020. foto Agensi

TEHRAN – Iran telah menahan seorang individu yang didakwa membuat rakaman yang menunjukkan pesawat penumpang Ukraine ditembak jatuh peluru berpandu.

Difahamkan individu berkenaan akan didakwa berkaitan keselamatan negara.

Pesawat PS752 yang didakwa Iran ditembak jatuh secara tidak sengaja membawa 176 orang penumpang dan anak kapal ketika kejadian.

Presiden Hassan Rouhani berkata, siasata akan dilakukan oleh ‘mahkamah khas’.

“Ia tidak akan menjadi kes biasa. Seluruh dunia akan melihat mahkamah ini,” kata Rouhani dalam ucapannya.

Malah, beliau menegaskan, insiden tragik itu tidak seharusnya ditanggung oleh seorang individu.

“Bukan hanya seorang, tetapi orang lain juga bertanggungjawab,” katanya.

Iran pada mulanya menafikan bahawa pesawat itu dilanggar oleh peluru berpandu, tetapi kemudian mengakui bahawa pesawat penumpang itu ditembak oleh sistem pertahanan udaranya.

Melalui rakaman video yang dikongsi di media sosial, ia menunjukkan pesawat itu dibedil oleh peluru berpandu.

Media Iran melaporkan tentera Iran telah menahan individu yang mendedahkan video berkenaan.

Tetapi wartawan Iran yang berpangkalan di London yang memaparkan rakaman itu mendakwa individu yang menyerahkan rakaman itu kepadanya masih selamat.

Dia tidak menolak kemungkinan Iran telah menahan salah orang. – MalaysiaGazette