Tangkap layar yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter

KUALA LUMPUR- Hari ini orang ramai yang berkelayakan boleh mula menerima wang sebanyak RM30 daripada program e-Tunai Rakyat menerusi salah satu daripada tiga pengendali e-dompet iaitu Touch ‘n Go, Grab dan Boost.

Bagaimanapun, sejak pagi tadi aplikasi e-dompet Touch ‘n Go telah mengalami gangguan teknikal dan masih sukar untuk diakses meskipun hanya untuk membuat penggunaan biasa seperti pembayaran mahu pun pemindahan wang.

Sehingga kini, masih tiada kenyataan atau pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut mengenai masalah yang dialami oleh aplikasi mereka.

Ini menyebabkan warga net menggunakan platform Twitter untuk menzahirkan kekecewaan mereka.

“Touch n’ Go tergendala disebabkan oleh lebih bebanan e-Tunai ke?

“Anda (syarikat) sepatutnya sudah boleh menjangkakannya kan?

“Selama ini saya tertanya-tanya mengenai mekanisme yang digunakan untuk pembayaran e-Tunai tetapi voila “ada masalah” rupa-rupanya,” kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @MyraWyanne.

“Amboi. Ramai sangat yang menuntut RM30 daripada TnG e-Tunai sehingga sistem tergendala.

“Ada sesiapa lagi yang mempunyai isu yang sama seperti saya?” soal pengguna Twitter yang menggunakan nama @SitiHuwaida.

Namun begitu, masalah tersebut dilaporkan tidak berlaku kepada dua pengendali e-dompet yang lain iaitu Grab dan Boost.

Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat menerusi program e-Tunai Rakyat apabila kerajaan melalui Bajet 2020 memperuntukkan RM450 juta untuk memberi bantuan tunai bagi tujuan tersebut.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima sebanyak RM30 melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet yang terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch n Go.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

15 juta rakyat Malaysia dapat manfaat e-Tunai Rakyat esok