Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai Bazaria Wangsa Maju dan peluang pekerjaan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Abd Khalid Samad memberi amaran keras kepada peniaga yang berlesen namun menjalankan kegiatan ‘sewa atas sewa’ untuk menghentikan amalan itu.

Jelas beliau perkara yang sama dikesan dilakukan oleh peniaga-peniaga di Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota yang membuat bantahan terhadap pemindahan tapak baharu.

Bukan sahaja di kawasan itu malah tambahnya kebanyakan tapak perniagaan di Kuala Lumpur (KL) telah lama melakukan amalan buruk itu sehingga ada yang mengaut keuntungan RM500,000 untuk RM1,000 satu tapak.

“Kita akan kenal pasti mana tempat-tempat yang membebankan peniaga, penjaja ini terpaksa sewa seperti di Uptown ini RM1,000 ada juga penganjur kutip sampai  RM500,000 sebulan.

“Kita pun mahu beritahu kepada penyewa tapak, mereka kita beri tempoh cari pekerjaan lain, perniagaan yang lebih produktif .

“Selama ini memang macam itulah berlaku di KL yang black market, underground, ini sumber pendapatan mereka jadi kita kena menjadi lebih telus supaya peniaga lebih maju, tidak terkongkong,” katanya ketika sidang media di Menara DBKL hari ini.

Amalan ini jelas beliau membebankan penjaja yang menyewa tapak kerana pihak menjalankan aktiviti  ‘sewa atas sewa’  mengambil kesempatan mengenakan bayaran lebih tinggi daripada DBKL.

“Bukan pasal merugikan DBKL walaupun rugi pasal pendapatan sepatutnya kembali kepada DBKL tetapi kepada orang lain pula. Tapi itu bukan persoalan utama bagi kita yang utama memberikan ruang kepad apeniag dan penjaja berkembang dan maju kalau tidak mereka akan sentiasa ditekan.

“Kalau nampak Uptown berkembang sewa tapak makin naik maka peniaga akan terkongkong. Apa yang kita nak urusan secara langsung kepada DBKL, kita harap peniaga lebih mau boleh naiktaraf diri dari penjaja jadi kepada peniaga yang ada kedai,” tambahnya.

Terdahulu Khalid berkata lebih 50 daripada 157 yang membuat laporan polis terhadap DBKL kerana enggan ke tapak baharu di Bazaria Wangsa Maju menyewakan tapak mereka kepada penjaja lain, 26 mengupah pekerja lain menguruskan tapak dan 12 sudah memiliki tapak baharu.

Katanya lagi lima individu daripada kumpulan itu bertindak menyewakan tapaknya kepada warga asing.

Lebih buruk selepas membuat semakan dengan DBKL, Khalid mendedahkan 60 daripada kumpulan tersebut sebenarnya bukan peniaga.

Untuk rekod, Bazaria Wangsa Maju merupakan lokasi pemindahan sementara untuk penjaja di Uptown Danau Kota yang telah ditutup.

Sebanyak 400 penjaja telah menjelaskan bayaran sewa dan lesen untuk memulakan perniagaan mereka di tapak baharu, 385 daripadanya telah mula berniaga.

Hanya tujuh penjaja masih belum membuat bayaran, 32 pula menunggu surat tawaran daripada DBKL untuk dimuktamadkan.

Baki 60 tapak masih kosong sehingga kini masih diteliti oleh DBKL .

Kekecohan wujud apabila sekumpulan peniaga enggan berpindah justeru DBKL awal tahun ini mengeluarkan notis akan menyita peralatan mereka yang masih berada di tapak lama.

Turut hadir dalam  sidang media Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Tan Yee Kew.

Tan baru-baru ini mendakwa peniaga  yang laporan polis palsu terhadapnya didorong oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).-MalaysiaGazette