Dr. Wan Azizah pada sidang media pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di KPWKM di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenal pasti enam faktor berlaku perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, enam faktor itu ialah pendapatan rendah dan kemiskinan; kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif (SRH) dan kemahiran keibubapaan; dan kekurangan akses kepada pendidikan dan kehadiran ke sekolah yang rendah.

Katanya, faktor lain ialah stigma dan norma sosial terhadap perkahwinan bawah umur yang dijadikan sebagai pilihan terbaik dalam masyarakat untuk menyelesaikan masalah; undang-undang longgar yang memperuntukan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun; dan penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur.

Justeru, katanya, kerajaan dan kementeriannya dengan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan antarabangsa UNICEF, pakar kanak-kanak dan wakil kanak-kanak telah membangunkan sebuah pelan dinamik untuk menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

“Perkahwinan bawah umur merupakan perkara yang telah lama diamalkan di negara ini, tetapi sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepimpinan kerajaan, usaha bagi membangunkan pelan strategi ini telah dilaksanakan untuk menangani punca perkahwinan bawah umur di Malaysia.

“Bagaimanapun, tidak ramai menyedari kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kanak-kanak. Seharusnya mereka ini diberi peluang untuk merealisasikan potensi mereka untuk masa depan yang cerah, selaras dengan obligasi negara terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Junaidah Kamaruddin.

Menurut Dr. Wan Azizah, punca dan faktor itu akan ditangani kerajaan melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program serta aktiviti kesedaran.

Kata beliau, pelan itu juga mengandungi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program serta tindakan bagi menangani punca tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, sebanyak 61 agensi akan terlibat sebagai agensi pelaksana bagi pelbagai program jangka pendek, sederhana dan panjang dengan perancangan utama untuk meningkat kesedaran, mengubah persepsi dan stigma yang dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.

“Antara program terlibat adalah memperkukuh program sokongan sosio-ekonomi dan outreach sedia ada dan usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan.

“Dalam program itu disediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja, menawarkan pendidikan TVET dan kemahiran kepada kanak-kanak serta belia yang telah tercicir dari pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian melibatkan orang Islam dan bukan Islam termasuk di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Beliau menambah, satu Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia yang dianggotai semua agensi pelaksana akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan perkembangan program serta tindakan yang dirancang.

Katanya lagi, pelan strategi yang diusahakan secara kolektif itu akan dapat menangani isu perkahwinan bawah umur daripada terus berlarutan dan seterusnya memberi kehidupan lebih baik demi masa depan kanak-kanak. – MalaysiaGazette