Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baru 2020 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA- Kabinet akan membuat keputusan  sama ada laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis dibuka kepada awam atau sebaliknya.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, laporan dan syor RCI itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

“Kita telah menerimanya dan ia akan dibentangkan kepada Kabinet dan akan buat keputusan sama ada laporan siasatan itu dibuka kepada awam mahupun tidak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.

RCI yang dipengerusikan oleh Tun Ariffin Zakaria itu telah mempersembahkan laporan siasatan dan syor kepada Yang di-Pertuan Agong pada  September tahun lalu.

Ketika RCI berlangsung seramai 48 saksi dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang memakan masa 17 hari sejak ia bermula pada 17 April 2019.

Untuk rekod penemuan kem dan kubur yang menempatkan 139 mayat di kawasan itu dibongkarkan oleh wartawan tempatan dalam siri laporan eksklusifnya.

28 kem yang menempatkan mangsa pemerdagangan orang dijumpai sekitar bukit-bukit berbatu di sepanjang sempadan Thailand di Bukit Wang Burma di Wang Kelian manakala lebih  100 rangka manusia dipercayai etnik minoriti Rohingya ditemukan dalam kubur berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast