Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA – Lima negeri bersetuju untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi pasangan remaja lelaki dan perempuan kepada 18-18 iaitu 18 tahun perempuan dan 18 tahun lelaki.

Sebelum ini, ada negeri yang menetapkan umur 16 tahun perempuan dan 18 tahun lelaki, termasuk membenarkan perempuan bawah umur berkahwin dengan pasangan berusia.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, lima negeri yang bersetuju melaksanakan perkahwinan pada had umur 18 tahun ialah Selangor, Melaka, Sabah, Perak dan Pulau Pinang.

Namun, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan tidak dapat menyelaraskan had umur di negeri-negeri lain kerana masing-masing sudah mempunyai perundangan sendiri.

“Bagaimanapun, kita mengharapkan kerajaan negeri berkenaan memberi sokongan terhadap usaha kerajaan untuk menambah baik dan memperkasakan kanak-kanak dan keluarga di negara ini.

“Kita telah mencadangkan kenaikan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dalam semua perundangan berkaitan perkahwinan dan bagi merealisasikan hasrat ini, Nota Jemaah Menteri mengenai Inisiatif Bagi Menaikkan Had Umur Minimum Perkahwinan dalam Perundangan di Malaysia telah dibentangkan pada 26 September 2018.

“Ini diikuti pembentangan mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan dalam perundangan yang berkaitan di Malaysia pada 16 Oktober 2018 di dua platform berbeza iaitu kepada Majlis Raja-Raja yang ke-250 dan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-132,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Dr. Wan Azizah kemudian mengucapkan terima kasih kepada pihak sultan dan kerajaan Selangor atas langkah proaktif melakukan pindaan bagi menaikkan had umur perkahwinan Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Jelas beliau, pembentangan yang telah dilaksanakan melalui dua platform itu telah diperkukuhkan dengan surat susulan untuk mendapatkan maklum balas kerajaan negeri itu pada November 2018.

Selain itu, katanya, kerajaan turut melebarkan usaha kepada perspektif lebih luas, tidak hanya fokus kepada perubahan dalam aspek perundangan, malah memberi tumpuan terhadap punca yang menjadi faktor penyumbang terjadinya perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Beliau berkata, terkini, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur ini telah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet pada 8 Januari lalu dan telah mendapat persetujuan.

Mengenai isu perkahwinan bawah umur, Dr. Wan Azizah berkata, kepentingan kanak-kanak dan keluarga adalah keutamaan kerajaan dan mandat Kabinet itu merupakan manifestasi supaya semua pihak berganding bahu menangani isu berkenaan dengan lebih agresif.

Beliau turut menjelaskan, terdapat program dan tindakan yang telah pun dimulakan oleh beberapa agensi untuk menambahbaik pengurusan perkahwinan bawah umur.

“Antaranya usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah menambah baik prosedur dan garis panduan sedia ada berkaitan permohonan pendaftaran perkahwinan bawah umur 18 tahun, tetapi telah genap 16 tahun bagi pasangan wanita yang berkuat kuasa mulai 22 Ogos 2019.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan juga telah memperkenalkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan di peringkat prasekolah.

“Manakala KPWKM melalui Pusat Remaja Kafe@Teen kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menawarkan perkhidmatan kesihatan reproduktif, kaunseling sosial dan saringan kesihatan untuk remaja yang telah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin,” katanya.

Ini, katanya, akan membantu menyokong usaha untuk memberi kesedaran dan pemahaman kepada kanak-kanak mengenai isu Kesihatan Seksual Reproduktif (SRH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast