KUALA LUMPUR – Kejayaan yang banyak dicapai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah hasil daripada keberanian syarikat itu melakar perubahan yang kadangkala dianggap melawan arus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kecekalan syarikat utiliti itu mengejar rangkaian cita-cita turut menjadi antara pemacu utama kejayaannya sehingga mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.

“Bank Dunia dalam laporannya, Doing Business 2020, menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga keempat bagi urusan mendapatkan elektrik.

“Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara dan ekonomi, justeru pencapaian kita adalah lonjakan besar berbanding kali pertama dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011 yang mana kita berada di tangga ke-60.

“Saya turut dimaklumkan, TNB semakin dikenali di luar negara dengan pembabitan dalam bidang penjanaan di seberang laut, termasuk di United Kingdom dan Turki.

“Malah, sudah tiga kali TNB merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada Anugerah Penjenamaan Dunia dengan terbaru pada 2019,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam TNB, di sini, hari ini.