Muhammad Yusoff Rawther

PETALING JAYA – Bekas pembantu penyelidik di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammed Yusoff Rawther bersedia untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.

Malah beliau menyatakan rasa tidak takut terhadap tindakan undang-undang yang mungkin diambil oleh Presiden PKR itu terhadap dirinya kerana peguamnya juga mempersoal alasan yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan prosiding jenayah.

“Anwar mahu saman saya? Bring it on (teruskan),” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Yusoff berkata, beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan yang panjang bagi kes berkenaan yang sememangnya telah mencalar imejnya.

“Apa yang berlaku, saya berhasrat untuk melihatnya (kes di bawa ke mahkamah). Saya fikir tidak ada harga untuk keadilan. Ia harus dicari  Saya mahu ia (kes) pergi lebih jauh,” ujarnya.

Sidang media diadakan oleh Yusoff merupakan penampilannya yang pertama sejak Jabatan Peguam Negara mengumumkan kes tuduhan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim berkaitan laporan polis  Yusoff ditutup.

Pada Selasa lalu Peguam Cara Negara, Datuk Tengku Nor Faiza Engku Atek dalam satu kenyataan media memberitahu, pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dakwaan kes serangan mencabul kehormatan yang dibuat Muhammad Yusoff Rawther terhadap seorang ahli politik ditutup.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kajian secara berhati-hati terhadap semua keterangan yang diterima dalam Kertas Siasatan yang diterima daripada PDRM.

Pihaknya turut mendapati terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah kanun yang sama.

Yusoff pada 4 Disember lalu telah mengadakan sidang media mendakwa beliau telah diserang secara seksual oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kejadian di sebuah kediaman pada 2 Oktober 2018.

Sehari selepas itu Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang mendakwa fitnah tersebut direka melibatkan pemimpin tertinggi PKR.

Yusoff kemudian tampil membuat laporan polis pada 7 Disember dan turut melampirkan akuan berkanun yang menamakan Anwar sebagai individu yang melakukan serangan seksual itu. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Jahatnya mereka2 ini…
    Segalanya sudah diatur…sbb itu mereka cukup berani…
    Demi menggagalkan cita2 dan hasrat rakyat Malaysia…

Comments are closed.