Presiden Turki, Tayyip Erdogan. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

ANKARA – Turki mula menghantar tentera ke Libya dalam usaha menyokong kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan beberapa hari sebelum sidang kemuncak di Berlin diadakan bagi membincangkan konflik di Libya.

Pada minggu lalu, Turki dan Rusia menggesa pihak yang terlibat dalam peperangan di Libya mengisytiharkan gencatan senjata.

Walaupun perbincangan di Moscow yang menyasarkan Khalifa Haftar mengehentikan kempen merampas ibu negara Libya sejak berbulan bulan lalu, kedua-dua pihak masih tidak mencapai kata sepakat apabila Haftar gagal menandatangani perjanjian gencatan senjata pada Isnin lalu.

Turki yang menyokong Government of National Accord (GNA) pimpinan Fayez al-Serraj berkata, negara itu telah menghantar satu pasukan latihan dan kerjasama yang kini aktif di Libya, lapor Reuters.

Erdogan berkata, Turki mula mengerahkan tenteranya ke Libya dan ia akan menggunakan semua kaedah diplomatik dan ketenteraan bagi memastikan kestabilan dicapai di selatan negara itu.

“Dalam usaha kerajaan yang sah di Libya kekal utuh dan mewujudkan kestabilan, kami kini menghantar tentera kami ke negara itu,” kata Erdogan.

Erdogan memberi amaran bahawa Turki tidak teragak-agak ‘memberi pengajaran’ kepada tentera Haftar di timur Libya sekiranya mereka terus menyerang GNA.

Perbincangan di Moscow merupakan percubaan terkini untuk menstabilkan Libya yang dihantui pergolakan sejak kejatuhan Muammer Gaddafi pada 2011.

Pada Ahad ini, Jerman akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak Libya yang membabitkan lima kem yang mana penyokong asing utama dan wakil daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu , Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Perancis, China, Turki dan Itali.

Haftar dan Serraj turut diundang namun adalah tidak jelas mereka akan hadir. – Agensi