foto hiasan - HAZROL ZAINAL/MG.

IPOH – Waktu solat subuh di Perak ditambah lapan minit daripada waktu sedia ada berkuat kuasa esok, 18 Januari, kata Timbalan Mufti negeri, Datuk Zamri Hashim.

Beliau berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agar waktu subuh bagi seluruh negeri menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk berbanding 20 darjah di bawah ufuk sebelum ini.

Menurut Zamri, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membuat keputusan bahawa hukum solat subuh yang dilaksanakan sebelum perubahan itu adalah sah dan tidak perlu diqada.

“Ditegaskan juga, perubahan ini hanya melibatkan waktu subuh sahaja, tanpa melibatkan waktu-waktu solat yang lain.

“Orang ramai boleh merujuk laman sesawang atau laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak bagi mendapatkan waktu solat subuh terkini dan maklumat lanjut mengenai perubahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – Bernama