KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kimanis, Sabah sebagai isyarat positif terhadap agenda Muafakat Nasional yang semakin hari semakin diterima rakyat di negara ini.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional semakin diterima baik oleh semua lapisan masyarakat majmuk di negara ini  malah sudah merentasi Sabah dan Sarawak.

“Malah kekalahan berterusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mejadi isyarat rakyat terhadap budaya politik ekstrem dan fitnah melampau selain daripada kegagalan dalam menunaikan janji serta membela rakyat.

“Pas rakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak termasuk petugas Pas yang membantu kempen PRK Kimanis, juga tidak lupa kepada para pengundi yang telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kepada Datuk Mohamad Alamin, marilah kita bersama-sama membela rakyat, mengangkat martabat Islam serta kukuhkan agenda muafakat dengan sebaiknya di Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini. .

Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). –MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.