Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin melambaikan tangan kearah pengunjung pasar selepas membuat edaran buah limau sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pekan Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Walaupun pada awalnya, asakan soalan-soalan wartawan enggan dilayan oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung desakan untuknya meletakkan jawatan parti namun hari ini akhirnya beliau mengulasnya.

Kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tindakan segelintir pihak dalam partinya itu sebenarnya bukan standard atau bukan tarafnya untuk menjawab.

“Apa, desakan? Itu biar orang lain layanlah. Itu bukan standard saya,” katanya ringkas kepada pemberita selepas sesi penyerahan buah mandarin selain ramah mesra bersama penjaja di Pekan Ampang sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Turut serta dalam program itu ialah Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin juga enggan melayan apa-apa soalan berkait dengan krisis parti terutamanya tentang tindakan yang bakal diambil oleh Lembaga Displin PKR terhadap Zuraida sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Ahli Parlimen Ampang itu untuk menjawab.

“Jangan tanya saya, tanya Zuraida. Saya datang sambut Tahun Baharu Cina sahaja. Selamat Tahun Baharu Cina,” kata Mohamed Azmin.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melambaikan tangan kearah pengamal media selepas membuat edaran buah limau sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pekan Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2020

Tindakan untuk memecat Zuraida semakin memuncak apabila beliau didakwa mengkritik dan mendedahkan butiran perbualannya ketika bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu.

Zuraida berbuat demikian ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran  Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pada 8 Disember, tahun lalu.

11 MPN desak PKR pecat Zuraida

Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, beliau amat positif untuk berhadapan dengan Lembaga Displin PKR malah yakin akan diberikan pengadilan sewajarnya.

“Saya telah terima surat tunjuk sebab pada 15 Januari lepas dan diberikan tempoh 14 hari. Jadi Insya Allah saya akan jawab isu yang dibangkitkan cuma saya tidak boleh sebutkan tentang isunya ketika ini.

“Dan Insya Allah, segala yang saya akan jawab itu terutamanya apa yang saya cakap di (hotel) Rennaissance itu adalah benar dan penting.

“Saya akan berdepan dengan Lembaga Displin dan saya juga harap mereka akan buat kerja mereka. Kita juga tahu tentang pengaruh kepimpinan utama dan juga situasi sebenar, saya pasti akan diberikan pengadilan yang adil” tegasnya.

Ketika diminta adakah beliau akan hadir mesyuarat-mesyuarat PKR selepas ini, Zuraida hanya sekadar berkata, ‘kita lihat nanti’. –MalaysiaGazette

Zuraida diberi tempoh 14 hari jawab surat tunjuk sebab