Kemenangan Mohamad Alamin kerana pengundi Kimanis tidak lagi mempercayai parti Warisan,.

BEAUFORT – Kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis hari ini bukanlah kemenangan peribadi sama ada calonnya mahupun mana-mana pihak semata-mata.

Ahli Parlimen Kimanis yang baharu, Datuk Mohamad Alamin melihat kemenangan itu sebenarnya datang daripada kematangan pengundi-pengundi Kimanis sendiri.

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, bukanlah kejayaan saya secara peribadi semata-mata.

“Ia menampakkan kedewasaan rakyat dalam membuat keputusan pada hari ini dengan pelbagai isu yang menghantui rakyat dan kita terjemahkan dalam pilihan raya kali ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad juga tidak menafikan tanpa bantuan semua pihaknya khususnya bekas wakil rakyat kawasan itu beliau tidak mungkin memperoleh kemenangan itu.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kepada bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang turut membantu BN.

“Kepada lawan saya, Datuk Karim Bujang, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah menampakkan kematangan berpolitik, kita sering bersemuka dan terserempak,” katanya.

Ditanya tentang perkara pertama akan dilakukan beliau selaku wakil rakyat baharu di Kimanis, Mohamad melihat isu yang sering menghantui rakyat menjadi keutamaannya.

“Insya-Allah saya akan turun ke bawah bersama rakyat Kimanis kita akan mencari isu-isu dan saya akan cuba menyuarakan isu-isu yang sering menghantui rakyat Sabah dan Kimanis hari ini.

“Inilah perjuangan dan keutamaan saya. Saya ingin menampakkan bahawa rakyat sangat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette