Bung Moktar Radin

BEAUFORT – Kemenangan calon Barisan Naisonal (BN) Datuk Mohamad Alamin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis merupakan isyarat jelas bahawa UMNO dan BN akan bangkit semula di Sabah.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan semua parti pembangkang di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya tetap yakin dan percaya, UMNO Sabah akan bangkit daripada kesilapan kesilapan lalu.

“Kita akan memperbetulkan UMNO Sabah dan BN, malah kita akan berkerjasama dengan parti-parti tempatan untuk berhadapan dengan PRU15,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga berkata, kemenangan BN di Parlimen Kimanis membuktikan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal menunaikan janji pilihan raya lepas.

“Warisan harus dikalahkan di Kimanis kerana mereka telah gagal menjaga amanah dan tanggungjawab kepada rakyat sabah

“Kami dalam UMNO dan BN akan berjuang dan bersusah payah dalam pembangkang, berdepan cabaran, rintangan…tapi kami terus bekerja untuk rakyat.

“Alhamdulillah rakyat telah buktikan bahawa tanggapan kami benar,” katanya.

Katanya lagi, kemenangan BN itu bukan hanya untuk rakyat Kimanis semata-mata bahkan ia adalah untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Kemenangan ini bukan hanya untuk rakyat Kimanis, tetapi untuk rakyat Sabah keseluruhannya.

“Rakyat rata-rata telah bosan dan tidak mahu diperintah oleh kerajaan yang lemah dan gagal seperti hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette