Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia membantah pengumpulan maklumat peribadi dengan kebenaran boleh digunakan oleh pihak ketiga di dalam e-TunaiRakyat.

Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah berkata, ia akan mendedahkan segala maklumat peribadi rakyat dengan hanya pemberian RM30 yang diuar-uarkan kononnya sebagai bantuan dari kerajaan.

Padahal kata beliau, program itu merupakan taktik kerajaan yang licik dan keji untuk menjual maklumat peribadi rakyat dengan harga semurah RM30.

“Kita menyeru kerajaan memansuhkan syarat ketiga yang ditetapkan dalam e-TunaiRakyat itu, di mana penuntut mesti bersetuju dan memberi keizinan kepada pihak pembekal e-Wallet untuk menyedia dan mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga termasuk kerajaan Malaysia dan penamanya.

“Kita melihat program ini sebagai langkah politik dari parti kerajaan untuk mengeksploitasi maklumat peribadi rakyat yang juga merupakan pengundi besar pilihan raya akan datang.

“Ini tidak lagi strategi politik Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan maklumat pengundi dan meraih langkah hadapan dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya hari ini.

Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah

Beliau menyatakan, dari sudut komersial pula, program itu seperti menjual maklumat peribadi penuntut wang RM30 itu, walhal pembekal E-Wallet boleh meraih keuntungan tinggi dengan pengumpulan data peribadi rakyat Malaysia.

Data ini katanya, boleh digunakan sebagai aset komersial bernilai tinggi dalam perniagaan syarikat terbabit.

Kata Syed Mohd Shahriman, kalau benar niat kerajaan hendak membantu, seharusnya syarat seperti itu tidak wajib dikenakan dan rakyat boleh menikmati duit berkenaan tanpa ada sempadan masa dan tempat untuk dibelanjakan.

“Seperti ditetapkan, wang insentif itu hanya boleh digunakan sebelum 14 Mac 2020 dan hanya boleh dibelanjakan di vendor terpilih sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.