Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencuba memakai topi berteknologi 5G semasa lawatan ke projek demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Kawalan 5G Langkawi, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

LANGKAWI – Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Pakatan Harapan (PH) tidak akan menjadi kerajaan sepenggal seperti yang dicanang-canangkan kecuali itu yang dimahukan oleh rakyat negara ini.

Menurut perdana menteri, kekalahan PH dalam lima pilihan raya kecil tidak semestinya memberi gambaran gabungan parti itu akan kalah pada pilihan raya utama nanti.

Beliau yang ditanya laporan Reuters bahawa PH akan jadi kerajaan sepenggal jika para pemimpinya tidak berhenti berbalah berkata, media tersebut bebas membuat pandangan masing-masing tetapi beliau mempunyai pendapat berbeza.

Dr Mahathir berkata, kerajaan PH berhadapan dengan banyak masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu.

Jelasnya, situasi semasa tidak seperti ketika beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada kali pertama pada tahun 1981, yang mana semua keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan tanpa masalah.

“Sekarang kita kena bersihkan pentadbiran, kita kena cari wang untuk bayar hutang.

“Kita juga dapati orang yang dahulu cekap tetapi terpaksa dibersarakan kerana terlibat dengan rasuah dan orang yang baru dilantik pula tidak secekap orang lama.

“Akhirnya PH dikenali sebagai kerajaan yang tidak pandai,” katanya pada sidang media di sini selepas mengadakan lawatan demonstrasi 5G di Ibu Pejabat Polis Langkawi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semasa lawatan ke projek demonstrasi 5G Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

Dalam nada sinikal, Dr Mahathir berkata, sampai satu tahap, rakyat boleh mencium tangan pencuri dan memanggil bossku.

“Curi duit pun tak apa, curi pun its okay. Saya tidak tahu bagaimana orang boleh terpengaruh dengan seorang yang dibicarakan kerana mencuri wang, anggap orang ini terbaik kerana pencuri ini memberi lebih banyak wang, okaylah” ujarnya.

Dr Mahathir menambah, jika rakyat mahu orang tersebut mentadbir negara semula, undilah semula semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Tetapi, amarannya selepas itu jangan harap PH akan mengambil alih semula dan memperbaiki kesilapan sekali lagi.

Tegas beliau, Kerajaan PH tidak akan mencuri wang dan kemudian mengagih-agihkan kepada rakyat.

Beliau yang turut ditanya mengenai kerjasama PH dengan Pas, Dr Mahathir berkata, spekulasi itu berlaku kerana gambarnya bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sambil berseloroh, beliau berkata: “Saya juga menyapa wartawan yang kurang baik, bukan yang baik sahaja. Saya jumpa ramai orang walaupun musuh saya.

“Saya pernah bekerja dengan Najib sebelum ini tetapi sekarang bekerja dengan Lim Kit Siang. Saya tidak menentang Kit Siang jika kami boleh membuat sesuatu yang baik, kami boleh bekerjasama.

“Najib, saya tak fikir dia boleh membuat sesuatu yang baik kerana jika undang-undang dan keadilan dilaksanakan dengan betul, dia perlu membayar harga yang mahal untuk memcuri wang kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. harap umur ko panjang utk saksikan PH telingkup dlm PRU ke 15..lepas tu anak2 ko yg kaya raya dan kroni ko rakyat sumbat dlm jel…inshaallah

Comments are closed.