Mohd Khairul Azam bersama kawan baharunya, Edwin.

KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang dituduh rasis dan perkauman oleh golongan cauvinis, terutama dalam isu tanglung dan tulisan Jawi menerima dua kawan baharu dari kaum Cina dan India.

Kehadiran kawan bernama Edwin (Cina) dan Gopinath (India) membuktikan beliau bukan seorang yang membenci kaum bukan Melayu.

Sebaliknya, katanya, beliau mempunyai kawan dan berkawan rapat dengan semua kaum tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Saya dapat dua kawan baru. Seorang Cina (Edwin) dan seorang India (Gopinath).

“Kalau ada lagi Cina dan India yang nak berkawan dengan saya, boleh hubungi saya dan kita jumpa di mana-mana. Kalau serasi boleh saja kita bersahabat,” katanya yang dipetik dalam ciapan Twitternya BuzzeAzam, hari ini.

Mohd Khairul Azam yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, beliau lantang melawan pihak yang kebetulan bukan Melayu kerana sering mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka ini yang dikenali sebagai golongan cauvinis sentiasa mencabar kesabaran orang Melayu dengan mempersoalkan hak dan kedudukan orang Melayu serta Raja-Raja Melayu.

Tindakannya memfailkan notis usul mencabar penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya sebelum ini dan akan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menyebabkan dirinya dituduh rasis.

“Saya mencabar sekolah vernakular kerana ia tidak ada dalam perlembagaan persekutuan, tetapi dipertahankan habis-habisan oleh golongan cauvinis, manakala yang ada dan terkandung dalam perlembagaan, golongan ini mempertikaikannya.

“Kalau mereka boleh sewenang-wenangnya mencabar hak kita yang tentunya dijamin dalam persekutuan, kenapa saya tidak boleh mempertikaikan hak mereka yang tentunya tidak ada dalam perlembagaan?,” katanya.

Menurut Mohd Khairul Azam, apabila beliau menerima kawan dari kaum Cina dan India, itu membuktikan dirinya bukan rasis atau perkauman sebagaimana dituduh oleh golongan cauvinis.

Bahkan, katanya, beliau akan terus mempejuangkan hak Melayu sebagaimana terkandung dalam perlembagaan sehingga golongan cauvinis sedar Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.