Cori Gauff (Foto: Barbara Gindl/APA/dpa).

ANKARA – Seorang pemain tenis remaja dari Amerika Syarikat, Cori Gauff, menewaskan Venus Williams dalam pusingan pertama perlawanan perseorangan wanita Terbuka Australia 2020 pada Isnin, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pemain nombor 69 dunia, Gauff, 15, menyingkirkan lawannya Venus yang berusia 39 tahun dengan set 7-6, 6-3 untuk mara ke pusingan kedua.

Pemenang Terbuka Australia 2019, Naomi Osaka dari Jepun, yang berusia 22 tahun, menewaskan lawannya dari Czech yang berusia 21 tahun iaitu Marie Bouzkova, dengan 6-2, 6-4 di Arena Rod Laver untuk mara ke pusingan seterusnya.

Australia telah menganjurkan kejohanan itu meskipun berdepan bencana kebakaran hutan belantara secara besar-besaran.

Negara itu telah menyaksikan kebakaran hutan yang dahsyat dan dianggarkan meragut nyawa sejumlah 1.25 bilion haiwan serta menyebabkan lebih 20 juta ekar tanah terbakar.

Sekurang-kurangnya 25 orang maut ketika cuba memadam kebakaran besar yang meletus pada Ogos lepas dan menyebabkan kerugian sebanyak berjuta-juta dolar.

Terbuka Australia menjadi pengumpul dana bagi membantu mangsa kebakaran hutan belantara itu. Dikatakan di laman sesawang bahawa sekurang-kurangnya US$5.18 juta berjaya dikumpul bagi membantu mereka yang terjejas akibat kebakaran itu.

Editi ke-108 Terbuka Australia akan berakhir pada 2 Feb.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast