Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Polis digesa supaya mengambil tindakan segera kepada sekumpulan lelaki yang menyerang Papagomo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam Ahad lalu.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Kapten (K) Haslihelmy DM Zulhasli berharap, individu yang terlibat dalam insiden itu segera ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Kata beliau, perbuatan samseng individu terbabit langsung tidak mencerminkan keperibadian rakyat Malaysia dan Sabah Khususnya.

“Kita bimbang budaya samseng seperti itu terus menular dalam Malaysia kerana sifat sedemikian bukan budaya rakyat negara ini.

“Dari klik video yang tular di laman sosial itu, dengan jelas dapat melihat pelancong asing pun turut menyaksikan insiden berkenaan.

“Sudah tentu perbuatan itu memberikan gambaran tidak baik kepada pelancong asing berkenaan berhubung aspek budaya dan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Dalam kejadian itu, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dikepung sekumpulan individu dipercayai penyokong Parti Warisan Sabah.

Kejadian itu berlaku di KKIA ketika beliau yang berada di Sabah berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin pada pilihan raya kecil Kimanis, dalam perjalanan pulang ke Semenanjung.

Papagomo kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, pada jam 7.40 malam semalam.

Menurut Haslihelmy, beliau percaya wujud sedikit kebimbangan dalam kalangan pelancong asing berhubung tahap keselamatan mereka di negara ini kerana dengan mudah insiden itu berlaku di KKIA.

Beliau berharap, tidak ada usaha untuk menyembunyikan individu berkenaan kerana apa dilakukan mereka jelas menyalahi undang-undang.

“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh polis kerana yang salah tetap salah dan mereka perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah mencemarkan nama baik Malaysia dan Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette