KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memuji langkah kerajaan Jepun membina bilik solat dan menyediakan makanan halal di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya negara itu.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kemudahan itu memudahkan umat Islam terutama pelancong beragama Islam menunaikan solat dan tidak was-was untuk mengambil makanan halal.
Kata beliau, Perkasa juga difahamkan kebanyakan bilik solat di negara itu dilengkapkan dengan tempat berwuduk dan arah kiblat yang tepat.
“Mengikut pusat informasi maklumat untuk pelancong Muslim di Jepun, terdapat 170 bilik solat dan sentiasa meningkat berikutan ramainya pelancong dari Asia Tenggara melawat negara itu.
“Mengikut Japan National Tourism Organization pula pada 2017 sahaja, kira-kira 700,000 pelancong dari Malaysia dan Indonesia melawat Jepun dan jumlah itu semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Kita memuji langkah kerajaan Jepun membina bilik solat di kompleks membeli belah di Hiroshima Prefecture, LaLaport Expocity dan Osaka Prefecture di Suita, Osaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, keprihatinan kerjaan Jepun amat dihargai Perkasa dan tindakan itu adalah langkah terpuji yang cukup disokong oleh NGO berkenaan demi mendaulatkan Islam dan mempermudahkan umat Islam melaksanakan kewajipan.
Sepatutnya kata beliau, semua pihak di Malaysia mengikut tauladan Jepun yang bukan negara Islam.
Di Malaysia katanya, ia belum menyeluruh dan ada pihak menghina Islam malah ada yang tidak membenarkan pekerja beragama Islam berehat untuk mengerjakan solat.
“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan akta mewajibkan semua gedung dan tempat perniagaan membeli belah serta kilang menyediakan tempat solat.
“Buat masa ini, ada yang menyediakannya dan ada yang langsung tidak peduli,” katanya. – MalaysiaGazette