JOHOR BAHRU – Sebanyak 33 unit bubu naga yang dilarang penggunaannya kerana boleh menjejaskan sumber perikanan dirampas Agensi Panguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Ayam dekat Batu Pahat jam 6 petang semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, bubu naga itu dirampas kerana sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial sekali gus menjejaskan hasil pendapatan nelayan pantai.

“Semasa bot melakukan rondaan rutin, mereka mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran beserta dua orang awak-awak sedang menarik bubu naga yang dipasang di persisir pantai.

“Sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan perairan yang cetek serta meninggalkan bubu naga tersebut bagi mengelak ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bubu Naga yang dirampas Agensi Panguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mohammad berkata, memandangkan paras air laut sedang surut, anggota Maritim Malaysia terpaksa meredah lumpur sehingga ke paras lutut untuk sampai ke lokasi bubu naga dipasang.

Tambahnya, kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk disita mengikut Akta Perikanan 1985.

Justeru, beliau mengingatkan para nelayan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast