Pengerusi Otai Reformis, Dr. Idris Ahmad bercakap pada "Forum : Tun M Lepas Jawatan Mei 2020?" di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Peserta Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 mengesyorkan kepada kumpulan aktivis reformasi itu agar membuat countdown mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sehingga tarikh 9 Mei tahun ini.

Cadangan itu dikemukakan seorang reformis dari Hulu Selangor yang mahu dikenali sebagai Shaiful.

“Saya nak cadangkan supaya kita membuat countdown, kerana Mahathir akan undur diri dalam tempoh dua tahun. Tarikh yang perlu kita buat adalah pada 9 Mei, kita buat mulai Tahun Baru Cina nanti.

“Ia bertujuan untuk memperingatkan rakyat bahawa pada tarikh 9 Mei adalah hari ‘selamat tnggal’ kepada Mahathir. Itu harus digariskan dalam media massa sepanjang masa sehingga tarikh itu,” cadangnya kepada Otai Reformis malam ini.

Mengulas mengenai itu, Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad berkata, cadangan akan dikaji pihaknya dan ia boleh digerakkan menerusi media sosial pihaknya.

“Kami akan siarkan video-video yang memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad kata akan jadi Perdana Menteri selama dua tahun sahaja.

“Sama ada dia pelupa atau sengaja lupa. Pendapat saya, seorang umur 94 (tahun) kalau ikut perubatan kena buat ujian memori sama ada dia pas (lulus) atau tidak,” katanya.

Otai Reformis yang terdiri daripada individu menyokong perjuangan reformasi Anwar selepas beliau dipecat secara dramatik oleh Mahathir pada tahun 1998 dan kini bernada tegas mahu Anwar diangkat sebagai pengganti Mahathir seperti perjanjian dalam Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Otai Reformasi berulang kali menggesa Mahathir mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu. -MalaysiaGazette