Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tiga kiri) dengan sebahagian penerima bantuan menggaul 'Yee Sang' pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah menjangkakan dapat membuat rumusan berapa ramai pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru di sini, membuat keputusan sama ada setuju atau sebaliknya.

Menterinya, Abdul Khalid Samad berkata, kerajaan menerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB) telah melakukan pelbagai usaha termasuk mengadakan perjumpaan dengan mereka untuk menjelaskan mengenai perancangan pembangunan di situ.

Kata beliau, pada Jun ini juga pihaknya akan mengadakan perundingan dengan mereka yang terlibat untuk kali terakhir, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Jun ini kita akan cuba dapatkan satu keputusan atau rumusan berapa ramai yang sudah setuju, dan kita akan cuba cari penyelesaian yang mana yang tidak setuju supaya kita boleh berunding dengan mereka untuk kali terakhir untuk kita dapat jayakan.

“Kalau boleh pada Jun ini juga kita hendak semua sudah bertemu secara terus dengan pihak PKB supaya apa saja yang mereka musykil, mereka boleh kemukakan, tanya dan kita perjelaskan.

“Setakat ini, kita dapati apabila mereka datang dan berjumpa, hampir semua bersetuju selepas diberikan penerangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama komuniti Kuala Lumpur di Pusat Komuiti Sentul Perdana di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 300 keluarga miskin, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak dan ibu tunggal melibat masyarakat Cina menerima angpau RM150 tiap seorang.

Menurut Abdul Khalid, beliau percaya pemilik dan pewaris bersetuju dengan perancangan kerajaan untuk membangun dan memajukan Kampung Baru, tetapi disebabkan hasutan pihak tertentu, mereka berbelah bahagi.

“Sekarang ini banyak sangat desas desus dan macam-macam teori masuk dalam minda mereka, kononnya, saya nak jadi broker, saya nak beli tanah itu kerana nak kaya dan macam-macam lagi.

“Dengan maklumat tidak betul ini, yang sudah menyatakan persetujuan sebelum ini pun menukar keputusan kepada tidak setuju.

“Jadi, Jun ini, dalam perjumpaan kali terakhir, mereka boleh tanya apa sahaja dan kita akan jawab sehingga mereka setuju,” katanya.

Mengenai Syarikat Tujuan Khas (SPV), Abdul Khalid menjelaskan, syarikat itu adalah milik kerajaan yang dibentuk dan keluarkan sukuk RM6 bilion untuk membeli tanah berkenaan.

Katanya, dengan SPV, pemilik akan mendapat 15 peratus daripada nilai tanah dalam bentuk saham.

“Apabila syarikat ini menjadi pemilik tanah, ia akan berhubung dengan pemaju dan mengadakan kerjasama untuk membangunkan kawasan itu mengikut pakej ditentukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Berhati2lah wahai Islam / Melayu dgn KERE…………………………………………………jaan pakatan taik ni, setelah begitu banyak aset melayu yg telah dijual, kini harta Melayu yg masih belum dpt KERE ini mnjual adalah Kg Baru…Kalau KERE ini berjaya, akibatnya tiadalah lagi Melayu di dalam KL..Dan semakin kukuhlah mereka mnguasai KL dan Msia amnya…

Comments are closed.