KUALA LUMPUR – Tiada kes jangkitan novel coronavirus dilaporkan di Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri itu, Aminolhuda Hassan.

Katanya, Jabatan Kesihatan akan sentiasa memantau perkembangan semasa terhadap penularan virus itu, selain membat saringan terhadap pelawat luar negara yang masuk ke negara itu khususnya dari China.

“Dua kaedah pemantauan dijalankan antaranya sewaktu di dalam penerbangan. Sekiranya ada sakit atau demam, perlu buat laporan secara terus ketika dalam penerbangan.

“Yang kedua, apabila menjalankan saringan kesihatan di sini (pintu masuk negara), jika didapati suhu tinggi melebihi 38 darjah celsius, maka terus memaklumkan kepada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya dipetik sebagai berkatapada sidang media selepas mengadakan lawatan penggunaan mesin pengimbas sistem gelombang dan suhu badan bagi saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Liow pula berkata, Jabatan Kesihatan Johor sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan kaedah menguruskan pelawat dari China.

Jangkitan novel coronavirus mula dikesan di Wuhan, China, sejak Disember 2019, sehingga kini sebanyak 205 kes disahkan dijangkiti wabak dengan kematian dilaporkan di seluruh dunia membabitkan empat negara iaitu China, Thailand, Korea dan Jepun. -Malaysiagazette