Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian pembeli Residensi Jaya Rumah Selangorku mengenai isu kediaman residensi tersebut di Bilik Mesyuarat Tingkat 14, Menara Dato’ Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – UMNO secara jelas tidak mempersoalkan tujuan sebenar pertemuan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pas mempunyai hak untuk bertemu sesiapa kerana kerjasama kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional hanyalah kerjasama biasa dan bukan gabungan.

“Saya tidak tahu kalau Hadi beritahu Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) saya tidak tahu. Tapi itu hak Pas nak jumpa dengan sesiapa pun.

“Kalau mereka jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya, itu adalah keputusan dalam parti. Isu dalaman parti adalah hak mereka.

“Tidak timbul mengapa UMNO tidak terlibat dalam pertemuan itu. Mungkin satu hari UMNO pula buat perjumpaan dengan sesiapa sahaja. Itu keputusan UMNO,” katanya di pejabatnya hari ini.

Media sebelum ini membuat laporan yang mendakwa Pas mungkin akan diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Ia berdasarkan kepada tular sekeping gambar yang menyaksikan Mahathir mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi, dua minggu lalu.

Justeru itu, beliau menolak dakwaan bahawa Pas akan meninggalkan UMNO dan bergabung dengan PH.

“Tidak timbul isu Pas meninggalkan UMNO untuk jumpa Dr Mahathir. Itu adalah urusan dalam parti mereka,” katanya lagi. -MalaysiaGazette