Gambar hiasan

KUCHING – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petronas untuk menggugurkan kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) daripada mendengar kesnya berhubung kes tuntutan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) dan kerajaan negeri Sarawak.

Dalam keputusannya, JC Christopher Chin juga mengarahkan RM50,000 diberikan sebagai kos kepada plaintif tetapi membenarkan Petronas mengemukakan permohonan untuk penangguhan prosiding kes itu pada 5 Februari, sementara menunggu rayuan yang akan dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai keputusan Chin hari ini.

Pengawal SST Sarawak dan kerajaan negeri memfailkan writ saman serta tuntutan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi di sini pada 21 November, bagi mendapatkan cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara itu kepada Sarawak.

Pada 14 Januari, Petronas menerusi peguam utamanya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar memohon supaya Chin digugurkan daripada mendengar kes itu demi kepentingan keadilan.

Petronas juga memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan cukai jualan negeri yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah.

Mahkamah menetapkan permohonan itu didengar pada 3 Februari ini. – MalaysiaGazette