Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo meminta kerajaan negeri jangan berdiam diri dalam isu Skim Rumah Selangorku yang terbengkalai.

Malah beliau mahu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari campur tangan dan mengatasi kemelut yang dihadapi lebih 221 pembeli yang bakal kehilangan rumah pertama selepas pemajunya, BT Dutamas atau Jitu Enigma Sdn Bhd gagal menyiapkan rumah mereka di Residensi Jaya, Taman Juara Jaya, Cheras di sini.

“Menteri Besar (Amirudin) kena campur tangan, panggil kedua-dua pihak pembeli dan juga pihak syarikat (pemaju), cari jalan penyelesaian.

“Sebagai pemilik tanah, kalau anda kata tiada kuasa, saya fikir ia sangat naif, bincang selesai masalah, panggil bank, pemaju dan pembeli, duduk semeja dan yang paling penting kena ada kata putus.

“Itu tugas kerajaan, tugas kerajaan selesai masalah rakyat, bukan lepas tangan,” katanya dalam sesi bual bicara anjuran NGO Gerakan Tuntut Malaysia malam tadi.

Ahad lalu, lebih 221 pembeli Skim Rumah Selangorku berputih mata apabila pemaju hartanah mereka, BT Dutamas atau Jitu Enigma Sdn Bhd membuat deklarasi bankrap dan projek itu tidak dapat disiapkan.

Lebih malang apabila kebanyakan pembeli telah membuat bayaran deposit sebanyak 10 peratus atau kira-kira lebih RM25,000 kepada pemaju daripada setiap pembeli sehingga anggaran kerugian mereka mencecah lebih daripada RM4.5 juta.

Kebanyakan pembeli adalah kakitangan kerajaan dan mereka menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun kedua bagi membayar deposit berkenaan selain daripada mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Dalam pada itu, Mohamad Khir juga mendakwa sejak Pakatan Harapan memerintah Selangor, tiada lagi rumah kos rendah dibangunkan khususnya di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Dulu kita ada PKNS bangunkan rumah kos rendah, ketika itu kita ada badan khas yang memantau pembinaan rumah kos rendah. Sekarang tiada, sebab itu mereka lepas tangan saja.

“Sebab itu hari ini banyak pemaju tidak bina Rumah Selangorku, dia bina rumah lain dulu. Kalau komitmen kerajaan negeri, dia kena tahan projek lain, dia kena buat rumah kos rendah dulu, kalau gagal kita hentikan projek,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rumah SelangorKu: Lebih 200 pembeli ‘menangis’ dakwa kerajaan negeri lepas tangan