Penunggang motosikal dan pembonceng menyumhang angka tertinggi kemalangan maut dalam Op Selamat CNY 2020 memasuki hari kelima sehingga semalam.

KUALA LUMPUR – Memasuki hari kelima Op Selamat Tahun Baru Cina 2020, sehingga semalam, sebanyak 8,570 kes kemalangan di atas jalan raya telah dilaporkan.

Daripada angka itu, Selangor berada pada tangga teratas carta dengan merekodkan 2,701 kes kemalangan antara 18 hingga 22 Januari.

Johor pula berada di tangga kedua dengan 1,348 kes manakala Kuala Lumpur mencatatkan 1,019 kes kemalangan.

Maklumat itu dikeluarkan berdasarkan sumber Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Jumlah kemalangan maut yang dilaporkan Polis DiRaja Malaysia ialah 65 kes, jumlah kecederaan parah adalah 27 dan 80 kes kecederaan ringan dan  sebanyak 13,038 kenderaan terlibat.

Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang utama angka kematian iaitu 47 kematian direkodkan.

Daripada segi rekod kemalangan maut, Selangor sekali lagi berada pada tangga teratas dengan 17 kes maut diikuti Kedah (11 kes) dan Sarawak (10 kes) manakala Kelantan di tangga keempat dengan 7 kes kemalangan maut manakala Johor mencatatkan enam kes maut.

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan 3 kemalangan maut diikuti lima negeri lain iaitu Perak, Terengganu, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan masing masing mencatatkan 2 kes maut dan Melaka sebuah insiden maut.

Perlis satu-satunya negeri yang bebas daripada kemalangan maut setakat ini.

Sepanjang lima hari Op Selamat, polis mengeluarkan 125,464 saman.

Daripada jumlah tersebut,  sebanyak 77,042 saman atau bersamaan dengan 61.4 peratus dikeluarkan untuk enam kesalahan utama di atas jalan raya.

Enam kesalahan yang difokuskan untuk tindakan tegas kali ini seperti musim musim perayaan lalu adalah pertama menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di barisan kembar. – MalaysiaGazette