Ilan Pappe

KUALA LUMPUR – Perjuangan Palestin untuk sebuah negara yang bebas dan merdeka mungkin terus terhalang jika Donald Trump dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi penggal kedua, kata sejarawan tersohor Britian yang merupakan anak kelahiran Israel Profesor Ilan Pappe.

Beliau berkata ini kerana Trump akan meneruskan pelaksanaan satu pelan yang digelar sebagai ‘perjanjian abad ini’ dalam isu Palestin sebagai usaha AS bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang wujud sejak dahulu lagi.

“Trump, bersama-sama dengan kerajaan Israel, mewakili tempoh masa yang amat regresif bagi rakyat Palestin. Individu di sekeliling beliau seperti Naib Presiden Mike Pence, (Setiausaha Negara) Mike Pompeo, menantu lelakinya (Trump) (yang juga Penasihat Kanan Rumah Putih) Jared Kushner dan (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, sedang mengusahakan apa yang mereka gelar sebagai perjanjian abad ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Pappe, yang juga pengarah Pusat Eropah untuk Pengajian Palestin di Universiti Exeter di United Kingdom, mendakwa perjanjian itu adalah satu percubaan untuk menyahpolitikkan perjuangan Palestin dan mengubahnya menjadi isu-isu kemanusiaan.

“Mereka akan memberitahu kita bahawa tidak ada isu mengenai Palestin namun ada rakyat Palestin yang hidup dalam kemiskinan, yang tidak mempunyai taraf hidup yang baik. Mereka akan meminta Arab Saudi dan Abu Dhabi (UAE) untuk memberikan wang dan berusaha bersama-sama dengan AS untuk memperbaiki taraf hidup mereka yang tinggal di Palestin.

“Dan sebagai balasan, (mereka menjangkakan bahawa) rakyat Palestin akan menghentikan sebarang tuntutan politik, hak untuk menentukan nasib sendiri dan hak untuk kebebasan. Ini amat berbahaya, ini adalah satu serangan terhadap rakyat Palestin, (dan) satu percubaan untuk menghapuskan mereka sebagai sebuah pergerakan politik (dan) sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau berkata ini juga konsisten dengan tindakan Trump seperti memindahkan Kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei tahun lepas, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf petempatan Israel di Tebing Barat sebagai sah di sisi undang-undang.

Memandangakan Pilihan Raya Presiden AS dijadualkan berlangsung pada 3 Nov tahun ini, Trump dilaporkan akan melaksanakan pelan itu lebih awal iaitu menjelang pilihan raya Israel pada 2 Mac sebagai usaha meningkatkan sokongan kepada Netanyahu bagi menentang lawannya, Benny Gantz, dari Parti Biru dan Putih.

Sementara itu, Pappe juga berpendapat bahawa pilihan raya Israel akan datang, yang ketiga dalam tempoh kurang setahun, tidak akan mengubah apa-apa berkaitan pandangan rejim Zionis itu terhadap Palestin.

“Tidak kira siapa pun yang memenangi pilihan raya itu, ia tidak akan mengubah realiti politik yang dihadapi rakyat Palestin,” katanya sambil menambah bahawa sikap permusuhan terhadap Palestin dan rakyatnya dijangka berterusan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast