Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan ujian saringan urin berkala dan pemeriksaan urin mengejut ke atas anggota polis yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) diyakini dapat mengurangkan penglibatan warga pasukan keselamatan itu dengan jenayah dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap isu dadah dalam kalangan warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dapat diperangi secara habis-habisan demi maruah institusi itu.

Ujarnya, bagi tempoh antara 1 hingga 17 Januari lalu seramai sembilan warga PDRM telah ditangkap kerana ujian saringan awal air kencing mereka didapati positif dadah.

“Menyentuh isu salah laku warga PDRM yang terlibat dengan dadah, menerusi Op Blue Devil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, seramai 268 orang pegawai dan anggota telah ditangkap sepanjang tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Abdul Hamid, dlam usaha mentranformasikan JSJN agar kekal relevan bagi membenteras dan memerangi dadah sebanyak sembilan jenis operasi khusus telah diatur gerak dan diperteguhkan dengan program ‘Naziran By Night’ serta program ‘Nature For Betterment’ dalam usaha menjadikan Malaysia bersih dadah.

Pada tahun lalu, JSJN melakar sejarah besar apabila berjaya membuat rampasan berskala mega dalam Op Engle pada 10 September lalu dengan rampasan 12 tan dadah jenis kokain bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, PDRM telah menunjukkan prestasi yang membanggakan pada tahun lala, antaranya kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak 249 kes berbanding sasaran sebanyak 269 kes bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu penurunan sebanyak 7.5 peratus.

Bagi Jabatan Siasatan Komersil (JSJK), sebanyak 17,582 operasi telah dilaksanakan dan berjaya menahan seramai 15,876 orang kerana pelbagai kesalahan jenayah komersial.

“Sebanyak 21,016 kertas siasatan turut berjaya diselesaikan daripada 26,465 kertas siasatan yang dikendalikan.

“Berdasarkan statistik ini, sebanyak 79 peratus kadar penyelesaian kes telah dicapai,” katanya.

Bagi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 1,665 operasi melalui Op Bersepadu telah dijalan pada tahun lalu berbanding 961 pada 2018, peningkatan sebanyak 73.3 peratus.

Katanya, daripada 101,404 operasi yang dilancarkan seramai 3,086 orang ditahan atas pelbagai kesalah trafik dan 296 orang atas kesalah lain. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.