KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu sebuah pusat hiburan terkenal di Puchong, Selangor semalam berjaya menahan seramai 22 orang pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing.
Turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh dan empat orang dalang warga tempatan.
Operasi dijalankan ke atas sebuah premis hiburan tiga tingkat yang menyediakan GRO warga asing sebagai peneman beramah mesra dengan pelanggan dan sebagai pelayan menghidang minuman keras.
Setiap bucket minuman keras yang dipesan oleh pelanggan melalui GRO, sebanyak 15% daripada setiap jualan minuman keras akan dibayar sebagai tips GRO tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, unit Quick Response Team (QRT) dengan 17 orang pegawai Jabatan Imigresen menyerbu premis ini pada jam 11 malam semasa premis tersebut sedang membuat pesta istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Apabila menyedari kehadiran pihak imigresen, penjaga premis bertindak mengarahkan semua GRO melarikan diri melalui pintu dan laluan rahsia.
Beberapa buah kenderaan telah siap lebih awal menunggu di luar premis untuk membawa lari GRO ini, selain terdapat juga cubaan melarikan diri dan menyorok di dalam parit di luar premis.
Namun, semua usaha mereka untuk melarikan diri berjaya digagalkan oleh pegawai imigresen.
Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menahan seramai 22 wanita warga asing yang terdiri daripada 20 wanita Thailand dan dua wanita Vietnam.
Turut ditahan seorang lelaki Bangladesh dan 4 lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi dalang menguruskan GRO dan transporter untuk melarikan GRO semasa serbuan.
Siasatan awal mendapati mereka juga menjalankan aktiviti kalungan bunga dan tiara untuk pelanggan menempah GRO yang mereka pilih.
Nilai setiap kalungan bunga dan tiara antara RM50 hingga RM1000.
Tambahnya, wang tunai berjumlah RM4,921 telah dirampas dan sebanyak empat buat kenderaan terdiri daripada BMW F30, Honda Accord, Honda Civic dan Proton Persona digunakan untuk membawa lari GRO dari premis semasa serbuan turut disita.
Sebanyak sembilan notis untuk hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada penyelia, pekerja dan juga pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette