Keadaan kereta jenis Toyota Corolla yang terbabas ke dalam parit yang dinaiki sepasang suami isteri yang maut di Kampung Sungai Kuali Serkat, Pontian.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri maut manakala seorang lelaki dipercayai saudara mangsa cedera selepas kereta jenis Toyota Corolla dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kampung Sungai Kuali Serkat dekat Pontian awal pagi ini.

Mangsa, Md Ehshan Sulaiman, 51, Norlaila Mohd Amin, 45, meninggal dunia di tempat kejadian dan Muhammad Shahrul Safiq Razib, 21, mengalami kecederaan.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Kanan II, Samad Kijan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu melalui talian MERS999 pada 4.53 pagi sebelum menggerakkan satu jentera dengan kekuatan sembilan anggota.

“Setibanya Pasukan Tindakan Operasi (PTO) di tenpat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Jenis Toyota Corolla bernombor pendaftaran JCN 8336 dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke dalam parit.

“Terdapat dua orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Pembantu Perubatan (KKM) dan seorang mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa telah dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi ditamatkan pada 7.23 pagi ini. – MalaysiaGazette.