Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah hadir ke mahkamah berikutan kes saman LHDN terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung permohonan penggantungan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu saman dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datuk Seri Najib Razak untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sebenarnya berniat ‘menamatkan’ karier politik bekas perdana menteri itu.

Peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa, kerajaan cuba untuk memastikan Ahli Parlimen Pekan itu bankrap kerana kegagalannya membayar cukai sekaligus menjadikan Najib tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Hujah Muhammad Shafee, Najib yang telah hilang kuasa selepas kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kini menjadi terlampau popular malah lima Pilihan Raya Kecil dimenangi pembangkang juga antara hasil usahanya.

“Sejurus selepas anak guam saya ini diberikan label bankrap, pastinya beliau (Najib) terpaksa keluar daripada arena politik seperti yang telah diperuntukan dalam Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika cubaan menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil LHDN terhadap Najib di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache petang tadi.

Najib ketika ini telah memohon perintah penangguhan itu sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai bekas perdana menteri itu kepada LHDN.

Muhammad Shafee melontarkan persoalan agenda serta motif penyingkiran Najib dari dunia politik lagi-lagi dilakukan secara tergesa-gesa oleh LHDN.

“Adakah ini usaha yang berterusan untuk dapatkan perintah mahkamah bagi memberikan penghakiman kepada anak guam saya.

“Mengapa seperti tergesa-gesa? Mengapa mahu tergesa bagi penghakiman terus? Kita nampak dengan jelas sekali rumusan bahawa Najib boleh diisytiharkan muflis sekaligus keluar politik terus.

“Apabila sudah isyhtiyar muflis, sememangnya kerjaya politik itu ‘habis’ begitu sahaja. Kami membangkitkan notis kehakiman yang jelas di sini,” hujahnya lagi.

Jelas termaktub mengikut Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, penghakiman terus adalah satu perintah mahkamah untuk mengeluarkan keputusan akhir dalam tindakan undang-undang jika terdapat kes jelas bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap saman berkenaan.

Dakwa Muhammad Shafee lagi, tindakan LHDN juga sebenarnya mala fide untuk Najib berterusan menjadi ahli politik.

Peguam yang mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk D.P. Naban hadir ke mahkamah berikutan kes saman LHDN terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung permohonan penggantungan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020.

Bagaimanapun, peguam LHDN, Datuk DP Nanban pula berkata, permohonan penangguhan Najib adalah pramatang kerana defendan perlu juga membayar RM1.69 bilion dalam jumlah cukai dikehendaki sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai.

Dalam Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan yang dibaca bersama Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang perlu membayar cukai taksiran tanpa mengira rayuan telah dibuat atau sebaliknya dengan LHDN.

Sementara Seksyen 106 memberi kuasa kepada LHDN untuk memulakan saman sivil untuk mendapatkan kembali apa-apa cukai yang perlu dibayar oleh individu yang ditaksir.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN yang menuntut beliau membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Hakim kemudian telah menetapkan tarikh keputusan pada 28 Februari hadapan setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Dalam tuntutan LHDN Najib didakwa telah gagal membayar cukai pendapatannya antara tahun 2011 sehingga tahun 2017 dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan selepas notis taksiran dikeluarkan.

Hutang itu juga setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus.

Kata LHDN, Najib juga telah diberikan tempoh 60 hari untuk membayar cukai berkenaan bersama-sama dengan peningkatan 10 peratus tetapi masih gagal berbuat demikian.– MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.