Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM)
Sekretariat Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) bercakap kepada pemberita dalam sidang media mengenai ayahanda terlibat kongsi gelap di Restoran NZ Curry House di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) menafikan terlibat dengan tindakan sekumpulan lelaki yang cuba menyerang pemimpin UMNO di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah, Ahad lalu.

Menurut Ketua Sekretariat MPAM, Yahya Long Ali, NGO itu tidak terlibat sama sekali dalam serangan itu walaupun banyak pihak mendakwa kumpulan insiden itu didalangi oleh seorang ayahanda.

“Itu tak ada, tiada kena mengena dengan kita, kita tak terlibat dengan benda-benda macam itu.

“Kita tak boleh menyentuh mana-mana pertubuhan tapi kami jelaskan di sini ayahanda adalah pemimpin dan ketua-ketua NGO yang berdaftar,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada Ahad lalu, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo cuba diserang sekumpulan lelaki di KKIA, Kota Kinabalu, hingga tular di media sosial.

Kejadian jam 7.30 malam itu dirakam pengunjung yang berada di KKIA sebelum dimuat naik ke Facebook dan dikongsi di dalam aplikasi WhatsApp.

Difahamkan, Papagomo dikatakan sedang mendaftar di kaunter di KKIA lalu berlaku pertengkaran antara sekumpulan lelaki sebelum berlanjutan sehingga tolak-menolak.

Bagaimanapun beberapa anggota polis yang berada di lokasi berjaya menenangkan keadaan.

Sementara itu, Sekretariat MJAM, Datuk Mahmud Abdullah berkata, sekiranya ada segelintir pemimpin mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat, ia hanyalah bersifat peribadi.

“Itu bersifat peribadi dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut. Kalau ada pun melibatkan peribadi, tidak melibatkan pertubuhan.

“Itu kes-kes terpinggir seperti di Sabah itu, kita tiada sangkut-paut dengan isu-isu ektremisme,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast