Antara pembeli Residensi Jaya memegang kertas bantahan mengenai projek rumah Selangorku yang bermasalah dan pemaju rumah Selangorku dalam proses penggulungan di Tapak Residensi Jaya, Taman Juara Jaya, Seri Kembangan, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Masalah Rumah Selangorku di Pangsapuri Residensi Jaya yang terbengkalai kini nampak jalan penyelesaiannya.

Ini setelah kerajaan Selangor telah menukar pemaju Jitu Enigma Sdn. Bhd. yang membangunkan perumahan itu sebelum ini kepada syarikat penerima dan pengurus Grant Thorton Consulting Sdn. Bhd.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri dalam kenyataan kepada media hari ini dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama syarikat pengurus dan wakil pembeli bagi mendapatkan penyelesaian kepada permasalahan dihadapi.

Kata kenyataan itu, satu skim penyelesaian sedang dirangka syarikat Grant Thorton Consulting Sdn. Bhd. bagi menjelaskan tuntutan pembeli yang terkesan dalam isu projek Rumah Selangorku Residensi Jaya.

“Skim tersebut akan diperhalusi bersama dengan pembeli dan pihak yang berkaitan, manakala tarikh mesyuarat telah ditetapkan pada 3 Febuari 2020 dan tempat akan dimaklumkan kelak.

“Sehubungan itu, pihak terlibat perlu mengambil maklum berkenaan mesyuarat berkenaan bagi membincangkan skim penyelesaian terbaik dalam melindungi hak pembeli yang terkesan daripada permasalahan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, pada masa sama, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu pembeli yang telah menandatangani perjanjian pembiayaan dengan institusi perbankan.

Katanya, ini bagi mengecualikan pembayaran ansuran pinjaman kepada bank sementara mendapatkan penyelesaian untuk permasalahan pihak pembeli.

Pada 15 Februari ini pula, syarikat Grant Thorton Consulting Sdn. Bhd. akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli bersama agensi berkaitan.

Kerajaan negeri menjelaskan, kos pembangunan projek Rumah Selangorku Pangsapuri Residensi Jaya di Taman Juara Jaya, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan itu ditanggung sepenuhnya oleh pemaju Jitu Enigma Sdn. Bhd.

“Kerajaan negeri tidak memperuntukan sebarang peruntukan bagi membangunkan projek itu,” kata kenyataan berkenaan.

Pada 17 Febuari 2016, kerajaan Selangor telah meluluskan permohonan pembangunan Rumah Selangorku sebanyak 388 unit dengan harga jualan antara RM200,000 hingga RM250,000 seunit kepada pemaju dan disyaratkan memperoleh senarai nama dari pihak LPHS.

Syarat tersebut, katanya, bagi memastikan hartanah harga kawalan ditawarkan kepada golongan sasaran khususnya mereka yang belum memiliki rumah.

Susulan kelulusan itu, pemaju berjaya memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang pada 27 September 2016 dan Pelan Bangunan pada 11 Mei 2017 seterusnya memperoleh kelulusan menjual dan mengiklan kepada orang awam.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan, berdasarkan siasatan LPHS, pemaju masih lagi gagal memulakan pembinaan di tapak setelah notis memulakan kerja pembangunan dikeluarkan.

LPHS kini telah memberhentikan sebarang penawaran dan pengeluaran senarai nama pembeli kepada pihak pemaju dan orang awam dipohon untuk tidak meneruskan sebarang urusan pembelian melibatkan projek itu.

Konsep dasar Rumah Selangorku adalah kerajaan negeri menetapkan setiap pembangunan perumahan di Selangor perlu membangunkan rumah harga kawalan yang dikenali sebagai Rumah Selangorku mengikut kuota ditetapkan berdasarkan saiz tanah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rumah SelangorKu: Lebih 200 pembeli ‘menangis’ dakwa kerajaan negeri lepas tangan