Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Langkah berjaga-jaga dan pemantauan berterusan menghadapi musim kemarau serta cuaca kering di negara ini perlu dilaksanakan secara konsisten dan holistik.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, walaupun Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara ini tidak mengalami cuaca panas yang ekstrem sehingga mencapai suhu 39 atau 40 darjah Celsius tahun ini, usaha ke arah itu perlu dilaksanakan.

Kata beliau,mengikut laporan MetMalaysia, musim kemarau dan cuaca kering akan berterusan sehingga Mac ini.

Selain itu, kegiatan aktiviti seperti pembakaran terbuka, penebangan hutan dan penggunaan bahan bakar juga penyumbang perubahan cuaca, selain faktor semula jadi seperti El Nino.

“Tambahan pula, sejak akhir ini kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan hutan, ladang dan tempat pelupusan sampah sering dilaporkan terutama kawasan yang kurang menerima taburan hujan.

“Saya menyambut baik usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran hutan yang berlaku sepanjang musim kemarau ini.

“Selain itu, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) yang telah diaktifkan oleh Kerajaan pada 7 Januari lalu dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan dalam membanteras pembakaran terbuka di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang memberi impak besar seperti jerebu, selain mengelakkan dehidrasi. – MalaysiaGazette