Seorang wanita dibawa keluar daripada runtuhan bangunan di Elazig. foto Agensi

ANKARA – Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dan lebih 1,400 orang cedera dalam gempa bumi kuat di timur Turki.

Gempa bumi dengan 6.8 magnitud melanda bandar Sivrice di wilayah Elazig pada jam 8.55 malam waktu tempatan menyebabkan bangunan runtuh.

Gegarannya turut dirasai di Syria, Lubnan dan Iran.

Kira-kira 43 orang telah diselamatkan setakat ini dan lebih 20 orang dikhuatiri terperangkap.

Kejadian gempa bumi adalah biasa di Turki – kira-kira 17,000 orang mati dalam gempa bumi di bandar barat Izmit pada tahun 1999.

Lebih daripada 400 gempa susulan telah direkodkan, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (Afad).

Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam, menggunakan tangan, penggerudi dan penggali untuk mencari mangsa-mangsa runtuhan bangunan.

Keadaan salah satu bangunan yang runtuh selepas Turki dilanda gempa bumi 6.8 magnitud. foto Reuters

Mereka juga menempatkan katil dan khemah bagi mangsa yang tiada tempat tinggal dan memberi amaran kepada penduduk untuk tidak kembali ke dalam bangunan yang rosak kerana bahaya ekoran gempa susulan.

Afad mengatakan 25 orang meninggal dunia di wilayah Elazig dan empat di wilayah Malatya.

Seramai 1,466 orang cedera akibat gempa bumi, menurut kiraan terbaru.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca sebelum ini berkata, 34 daripada mereka yang cedera berada dalam rawatan intensif, tetapi tidak berada dalam keadaan kritikal. – MalaysiaGazette