Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bercakap pada Program Santai Bersama Usahawan Berjaya anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Setia City Convention Centre, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang mencari usahawan yang ingin merubah hidup mereka dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mencari usahawan-usahawan yang ingin belajar menguasai beberapa bidang perniagaan di Jepun yang boleh diaplikasikan di negara ini.

“Saya baru ini pergi ke Okinawa dan saya dapat kenal pasti beberapa perusahaan yang boleh diusahakan oleh kita di Malaysia.

“Saya ingin cari orang yang berminat dihantar ke Okinawa dan tempat lain di Jepun untuk belajar bidang perniagaan di sana,” katanya dalam ucapan sempena program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), hari ini.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun.

Antara bidang perniagaan yang disebut oleh Dr Mahathir adalah perusahaan membuat produk berasaskan kaca.

Pada awal bulan ini, Pengerusi PH itu menerusi catatan di blognya menulis tentang kedai milik koperasi kampung yang ditemuinya di Okinawa, Jepun dan tertanya-tanya sama ada model sama boleh dilaksanakan di Malaysia.

Pada September tahun lalu, beliau mendedahkan pergerakan koperasi di Jepun boleh memainkan peranan besar dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah (B40) di kawasan bandar dan pedalaman berdepan isu peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau yang mengepalai kerajaan mahu melihat lebih ramai usahawan luar bandar mendapat kekayaan sama seperti usahawan di bandar.

Ia kerana, jurang antara usahawan luar bandar dan bandar sangat berbeza.

“Masyarakat di bandar biasanya kaya dan luar bandar biasanya miskin.

“Tapi kalau belajar macam mana nak berniaga kita juga dapat pendapatan sama, bahkan mungkin lebih dari di bandar.

“Kita harus ingat bahawa rezeki datang daripada perniagaan, kalau nak makan gaji takat itu sahajalah tapi kalau nak berniaga boleh jadi jutawan,” katanya lagi.